Thursday, June 16, 2011

RON97 turun 10 sen, kali pertama sejak harganya diapungkan

KUALA LUMPUR, 15 Jun — Harga petrol RON97 yang mengalami kenaikan berperingkat sejak diapungkan tahun lalu akan turun 10 sen buat julung kali, berkuat kuasa tengah malam ini.
Dengan itu, RON97 akan dijual RM2.80 seliter.

Sejak awal tahun ini ia telah mengalami empat kenaikan untuk mencecah harga semasa RM2.90 seliter.
“Ya, RON97 akan turun 10 sen seliter mulai tengah malam, ini kali pertama ia turun sejak kerajaan memperkenalkan polisi pelarasan subsidi tahun lalu,” kata sumber industri ketika dihubungi. 
 
Satu lagi sumber berkata keputusan mengenainya dimaklumkan kepada pengedar petang ini.
Pada Julai lalu, kerajaan mengumumkan pelarasan subsidi petrol, diesel, gas petroleum cecair (LPG) dan gula mengikut harga pasaran dunia.

Ketika itu kerajaan memutuskan harga petrol RON95 dan diesel diselaraskan lima sen kepada harga baru iaitu masing-masing RM1.85 seliter dan RM1.75 seliter.

Harga LPG pula diselaraskan 10 sen menjadi RM1.85 sekilogram dan petrol RON97 diapung terkawal memandangkan ia hanya membabitkan 13 peratus penggunaan bahan api di Malaysia.

Kerajaan menetapkan harga RON97 pada paras RM2.10 seliter dan mengalami kenaikan sehingga RM2.90 termasuk dua kali tahun lalu dan empat kali tahun ini.

Monday, June 6, 2011

Harga minyak patut lebih rendah

KUALA LUMPUR 6 Jun – Harga minyak mentah dunia yang kini diniagakan lebih AS$100 (RM300) setong, sepatutnya kekal pada paras antara AS$75 (RM225) hingga AS$80 (RM240) setong kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petroliam Nasional Bhd. (Petronas), Datuk Shamsul Azhar Abbas.

Katanya, paras harga itu adalah bersesuaian dengan asas atau dasaran pasaran dan suasana kos semasa.

‘‘Harga memainkan peranan yang penting dalam keputusan pembahagian sumber oleh pengguna dan pengeluar.

‘‘Oleh itu, apabila harga pasaran semasa hanya dipengaruhi oleh langkah yang diambil oleh bank-bank pusat dan spekulator kewangan, ia adalah membimbangkan,’’ katanya semasa menyampaikan ucaptama di Persidangan Minyak dan Gas Asia Ke-16 2011 di sini hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Pegawai Eksekutif Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (Pemandu) Datuk Seri Idris Jala.

Tambah Shamsul, harga penanda aras minyak mentah utama telah meningkat melebihi AS$25 (RM75) setong dalam tempoh hanya sebulan berikutan bekalan dan permintaannya yang lebih ketat.

‘‘Peningkatan harga pasaran semasa ketika ini adalah disebabkan oleh kebimbangan gangguan bekalan yang berlaku di Timur Tengah dan Afrika Utara.

‘‘Selain itu, kejatuhan nilai dolar Amerika Syarikat (AS) juga memburukkan keadaan dan menyebabkan harga terus melonjak,’’ katanya

Shamsul berkata, kapasiti simpanan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) telah menurun di bawah paras empat juta tong sehari.

Manakala, paras inventori minyak mentah dan produk petroleum turut menurun daripada kedudukan tertinggi.

‘‘Harga yang tinggi beserta dengan pemulihan permintaan menyaksikan perbelanjaan modal (capex) industri akan terus meningkat pada tahun ini kepada AS$410 bilion (RM1.23 trilion) berbanding AS$380 bilion (RM1.14 trilion) pada tahun lalu,’’ jelasnya.

Sementara itu, permintaan minyak mentah di pasaran Asia, dijangka meningkat melebihi 60 peratus dengan unjuran penggunaan melebihi 250 bilion tong menjelang 2030 iaitu enam kali melebihi simpanan semasa sebanyak 40 bilion tong.

Shamsul menambah, penilaian geologi menunjukkan sumber minyak yang masih belum ditemui adalah lebih kurang 50 bilion tong dengan majoritinya terletak di medan bersaiz kecil dan sederhana.