Friday, November 5, 2010

Balik Kampung: Tips Pemanduan Jarak Jauh

Hari ini merupakan cuti umum sempena Hari Deepavali dan selepas ini pula iaitu pada 17 November 2010 umat Islam akan menyambut Hari Raya Haji. Sudah semestinya warga yang berada di perantauan akan pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut hari perayaan berkenaan.

Seperti sebelumnya, seminggu atau paling tidak sehari sebelum perayaan, warga kota akan memulakan perjalanan untuk pulang ke kampung. Pelbagai persiapan dibuat bagi menyambut hari perayaan. Namun begitu, adakah anda akan membuat persiapan untuk perjalanan pulang ke kampung?

Persiapan dan perancangan untuk perjalanan pulang ke kampung amatlah penting. Di sini terdapat beberapa tip persiapan sebelum dan semasa dalam perjalanan pulang ke kampung halaman. 

Sebelum perjalanan :
1. Pastikan anda merancang dahulu perjalanan anda seperti bilakah tarikh dan pukul berapa anda akan bertolak. Hal ini penting bagi mengelakkan anda tidak tergesa-gesa serta dapat menghindari dari terlibat dalam kesesakan jalan raya.

2. Bawalah kereta anda ke pusat servis yang bertauliah dan servislah kereta anda. Periksa komponen enjin, bateri, tali kipas, air radiator, lampu depan, isyarat, lampu brek, lampu kecemasan, tekanan angin tayar serta tayar simpanan, brek tangan serta pengilap cermin.

3. Pastikan anda rehat dan tidur dengan secukupnya. Elekkan memandu selepas anda pulang dari tempat kerja . Jika anda keletihan, hal ini boleh mengganggu kosentrasi anda semasa memandu.

4. Elekkan minum minuman keras atau mengambil ubat yang boleh memberi kesan mengantuk seperti ubat batuk atau selesema kerana ia boleh mengganggu tumpuan anda.

5. Elekkan daripada perasaan marah sebelum memulakan perjalanan. Kemarahan boleh membuatkan anda stres, hilang pertimbangan dan tidak menghiraukan peraturan lalu lintas. Hal ini boleh membahayakan nyawa anda serta orang lain.

6. Sebelum memulakan perjalanan, pastikan anda mengisi tangki minyak dengan penuhnya bagi mengelakkan kenderaan kehabisan petrol di tengah-tengah jalan raya.


Semasa perjalanan:
1. Pastikan anda dan setiap penumpang memakai tali pinggang keledar kerana ia boleh menyelamatkan  nyawa. Jika anda membawa bayi kecil, jangan mendukung bayi sama ada di bahagian tempat duduk hadapan mahupun belakang. Pastikan tempat duduk keselamatan khas digunakan.

2. Jika anda berasa mengantuk atau keletihan, ambillah masa untuk berhenti di kawasan rehat yang disediakan. Pastikan anda membuang air semasa berhenti dan berjalan bagi meregangkan otot anda.

3. Jangan meninggalkan barang-barang berharga di dalam kereta semasa anda berada di kawasan rehat. Pastikan pintu kereta dikunci bagi mengelakkan sebarang kecurian.

4. Jika memandu ketika hujan lebat, perlahankan kelajuan kenderaan dan pasangkan lampu hadapan. Elakkan daripada memandu dengan laju kerana keadaan jalan raya yang licin boleh mengakibatkan kecelakaan. 

5. Jarakkan kenderaan anda serta elakkan dari mengekori kereta hadapan terlalu rapat, hal ini dapat mengelakkan dari kemalangan berlaku.

6. Amalkan pemanduan berhemah. Gunakan cermin pandang belakang dan sisi untuk memastikan keadaan selamat. Beri isyarat sebelum menukar lorong atau memotong. Jangan menghalang kenderaan lain kerana ia boleh menyebabkan pengguna lain hilang sabar. Patuhi had laju yang telah ditetapkan bagi mengelakkan anda tidak disaman.

Jika anda melaksanakan kesemua tip di atas, nescaya risiko kemalangan jalan raya dapat dikurangkan dan anda akan sampai ke destinasi yang dituju dengan selamat. Usah biarkan keluarga anda menyambut kepulangan kali ini dengan tangisan.



0 comments:

Post a Comment