Thursday, May 26, 2011

Harga RON95 Kekal

PUTRAJAYA: Kerajaan semalam mengekalkan harga petrol RON95, diesel dan gas memasak LPG buat masa ini selepas mengambil kira pandangan semua pihak dan kepentingan rakyat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan yang dibuat dalam mesyuarat Kabinet semalam, membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap masalah rakyat.
Keputusan itu juga menolak spekulasi sebelum ini bahawa kerajaan akan menaikkan harga produk petroleum sehingga 30 sen seperti tersebar dalam laman blog dan Facebook.

Ismail berkata, Kabinet tidak membincangkan tempoh masa pengekalan harga produk petroleum berkenaan dan kerajaan tetap meneruskan kajian rasionalisasi subsidi secara menyeluruh berikutan peningkatan harga minyak dan gas di pasaran global.

Selepas mendengar pandangan semua pihak, harga akan dikekalkan kerana bagi kita ini adalah permohonan dan pandangan rakyat. Beliau tidak boleh beri kepastian sampai bila harga ini akan dikekalkan, kalau harga minyak dunia terus meningkat, kita akan lihat bagaimana (keadaannya).
Harga RON95 kini RM1.90 seliter manakala RON97 adalah RM2.90 seliter selepas diapungkan mengikut harga pasaran minyak semasa.

Baru-baru ini ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jumlah subsidi ditanggung kerajaan tahun ini akan meningkat sekali ganda berbanding tahun lalu iaitu daripada RM10.3 bilion kepada RM20.58 bilion berikutan kenaikan harga minyak dunia.

Ismail Sabri juga meminta semua pihak tidak terpengaruh dengan khabar angin kononnya kerajaan akan menaikkan harga produk petroleum. Katanya percayalah kepada kerajaan hari ini yang mendengar pandangan rakyat. Sebelum sesuatu keputusan diambil, kerajaan mengambil kira pandangan semua sudut, jadi apa yang kita buat jelas menggambarkan kerajaan sentiasa prihatin kepada rakyat.

Beliau berkata, keputusan mengekalkan harga produk petroleum itu juga tidak menggambarkan bahawa pilihan raya semakin hampir. Katanya terlalu banyak spekulasi tersebar tapi keputusan ini tiada kaitan dengan pilihan raya.


Saturday, May 21, 2011

Beban rakyat diambil kira sebelum pelarasan harga petrol

PUTRAJAYA – Kerajaan mengambil kira semua faktor termasuk beban kepada rakyat sebelum melakukan sebarang keputusan berhubung pelarasan harga petrol termasuk RON 95, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, pelarasan itu akan ditentukan pada hujung bulan ini atau awal Jun dan setakat ini kerajaan tidak boleh menentukan sama ada harga RON 95 akan kekal atau sebaliknya.

“Pada tahun lepas tanggungan subsidi minyak adalah RM8 bilion. Tahun ini jika harga minyak AS$100 setong, jika keadaannya tidak turun atau naik lagi, kita jangka tanggungan kita mencecah RM18 bilion iaitu RM10 bilion lebih tinggi daripada tahun lepas,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Dalam pada itu beliau berkata, rakyat tidak boleh berharap supaya harga petrol serta barangan akan kekal sepanjang masa.-kosmo

Kenaikan Harga RON95: Rakyat Diminta Tunggu Pengumuman Kerajaan

BERA, 21 Mei -- Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Yaakob meminta rakyat menunggu pengumuman rasmi kerajaan berhubung penyelarasan harga minyak, yang akan dibuat tidak lama lagi.

Beliau berkata rakyat tidak sepatutnya terpengaruh dengan dakyah pembangkang bahawa harga RON95 akan naik dalam masa terdekat.

"Saya sentiasa maklumkan bahawa rasionalisasi subsidi akan kita buat pada hujung bulan ini, atau awal bulan depan, jadi jangan nak tuduh kerajaan itu ini sebab kita belum lagi naikkan apa-apa harga.

"Jadi, saya minta rakyat tunggu dulu, kalau nak kata kerajaan tidak bertanggungjawab dari segi jaga kepentingan rakyat, sekarang ini subsidi untuk seluruh bahan petrol dan makanan meningkat sampai RM20.58 bilion kita tanggung, jadi macam mana boleh kata kerajaan tak ambil berat," katanya kepada pemberita di sini Sabtu.

Ismail Sabri juga meminta pihak berkenaan agar menghentikan semua pembohongan dan spekulasi berhubung kenaikan harga minyak kerana ia jelas bermotifkan politik.

Beliau berkata perkara itu turut disebarkan di laman sosial seperti Facebook iaitu kononnya kerajaan akan menaikkan harga RON95 sebanyak 30 sen selepas pukul 12 malam tadi, dan ia mencetuskan kekecohan di kalangan orang ramai.

"Janganlah kita percaya spekulasi itu, sabar dulu dan tunggu hingga Jun nanti, di mana kalau ada kenaikan harga, baru kita boleh beri komen dan sebagainya, dan setakat ini, perkara itu masih dalam tindakan," katanya.

Ismail Sabri berkata kerajaan mengambil kira semua faktor, termasuk kadar inflasi dan beban rakyat, ketika mengkaji rasionalisasi subsidi penyelarasan harga minyak.

"Kita masih tengok dari segi pro dan kontra, namun saya tidak boleh beri jaminan bahawa harga minyak akan kekal selamanya, kerana bukan kuasa saya untuk beri jaminan seperti itu," katanya.

Friday, May 20, 2011

Harga Baru RON95 Awal Bulan Depan

PUTRAJAYA: Kerajaan akan menetapkan harga baru RON95 selewat-lewatnya awal bulan depan selepas kajian terperinci harga minyak dunia dilakukan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sedang meneliti semula harga pasaran minyak mentah dunia sebelum penyelarasan harga diputuskan bagi mengelak tanggungan subsidi yang lebih tinggi.

"Sekiranya harga pasaran minyak mentah dunia masih kekal melebihi AS$100 setong (RM301), pemberian subsidi minyak akan meningkat kepada RM10 bilion berbanding hanya RM8 bilion pada tahun lalu," katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas merasmikan program suaian perniagaan antara koperasi bersama dengan hypermarket/pasaraya, syarikat minyak dan persatuan hotel di sini, Jumaat.

Menurut beliau, kerajaan menanggung sebanyak RM1 seliter untuk subsidi minyak kepada rakyat pada ketika ini.

Justeru itu, kerajaan akan mengkaji semula harga pasaran minyak dunia setiap enam bulan agar tanggungan subsidi minyak dapat dikurangkan.

"Kajian semula untuk harga petrol RON 95 dibuat pada Disember tahun lepas. Jadi semakan terbaru akan dilakukan hujung bulan ini atau awal Jun," jelasnya.

Ismail Sabri berkata, semakan setiap enam bulan itu bukan dilakukan untuk membatalkan pemberian subsidi kepada rakyat tetapi mahu mengurangkan tanggungan subsidi kerajaan secara berperingkat-peringkat.

"Kita mesti lihat perkembangan yang berlaku di dunia pada ketika ini. Harga barang tidak akan kekal sepanjang masa," katanya.

Jelas beliau, harga petrol di Malaysia masih jauh lebih murah berbanding China yang menjual petrol RON 93 pada harga RM3.80 seliter manakala Indonesia, RM3.20 bagi petrol RON92.

Terdahulu, Ismail Sabri merasmikan program suaian perniagaan antara koperasi bersama pasar raya, syarikat minyak dan persatuan hotel untuk membantu sektor koperasi memperluaskan pasaran produk keluaran mereka.

Katanya, pemasaran produk keluaran 35 buah koperasi terpilih dapat meningkatkan lagi peratusan penyenaraian tetap produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang masih berada pada tahap kurang memuaskan.

Beliau turut berharap pihak hotel dan syarikat minyak mengecualikan caj penyenaraian tetap kepada PKS untuk disenarai tetap di premis masing-masing.

"Bersesuaian dengan program itu, kementerian mensasarkan sumbangan koperasi terhadap Keluaran Dalam Kasar Negara akan dapat ditingkatkan kepada RM10 bilion menjelang 2013," katanya.

Untuk merealisasikan sasaran itu, beliau berkata Malaysia akan menjalin kerjasama dengan koperasi di Singapura bulan depan selain menggalakkan koperasi kecil bergabung untuk menjalankan perniagaan berskala besar.

Tuesday, May 17, 2011

Adakah RON95 Naik Lagi?

IPOH, 17 Mei -- Kerajaan akan mengkaji semula semua harga produk petroleum termasuk petrol RON95 pada bulan depan bagi menentukan harga sedia ada akan kekal atau sebaliknya, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Beliau berkata kajian semula oleh kementerian itu bersama-sama agensi lain seperti Kementerian Kewangan dan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) akan menentukan sama ada harga sedia ada kekal atau dinaikkan berdasarkan tanggungan subsidi kerajaan.

"Mengikut pelan Rasionalisasi Subsidi, satu kajian semula akan dibuat enam bulan sekali terhadap subsidi semua produk. Jadi untuk petrol RON95, diesel dan LPG (gas cecair asli) kajian terakhir dibuat pada Disember tahun lepas.

"Ini bermakna bulan ini atau awal Jun akan berlaku kajian semula untuk pertengahan tahun...saya tidak boleh memberi gambaran apa yang akan berlaku, tetapi kajian akan berlaku dan tanggungan subsidi oleh kerajaan adalah tinggi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Ipoh Barat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kedudukan semasa harga petrol RON95 berikutan harga petrol RON97 kini meningkat kepada RM2.90 seliter.

Harga RON97, yang diapungkan mengikut harga pasaran minyak semasa, naik 20 sen ke RM2.70 seliter pada 2 April lepas ekoran krisis Timur Tengah manakala kali terakhir harga RON95 naik adalah pada Disember tahun lalu iaitu sebanyak lima sen kepada RM1.90 seliter.

Ismail Sabri berkata walaupun sebelum ini beliau berkata harga minyak tidak dinaikkan pada masa sekarang, tetapi ia tidak menjamin harga minyak akan kekal selama-lamanya kerana tanggungan subsidi kerajaan terhadap produk petroleum pada masa sekarang adalah tinggi.

"Tahun lepas, tanggungan subsidi kerajaan (bagi produk petroleum) adalah RM8 bilion apabila harga minyak dunia meningkat, dan tidak nampak trend itu akan menurun. Kalau keadaan itu berterusan, tanggungan subsidi kerajaan akan menjadi RM18 bilion tahun ini iaitu kenaikan RM10 bilion," katanya.

Beliau berkata sekiranya subsidi dikurangkan, jumlah peruntukan RM10 bilion itu dapat digunakan bagi membina lebih banyak sekolah, jalan-jalan kampung, projek perumahan rakyat serta memberi lebih banyak bantuan pelajaran.

Katanya rakyat perlu sedar jumlah subsidi besar yang ditanggung kerajaan sepatutnya dibelanjakan untuk projek yang lebih memberi manfaat kepada pelbagai lapisan rakyat.

Thursday, May 5, 2011

RON97 Naik 20 sen lagi menjadikan harga baru RM2.90

Pada 5 Mei lalu, petrol RON 97 telah  dijual pada harga baru, iaitu RM2.90 seliter. Menjadikan kenaikan ini merupakan yang ke tujuh pada tahun 2011.


Kenaikan itu bagaimanapun tidak melibatkan RON 95 dan bahan api lain di negara ini.
RON 95 kekal pada harga RM1.90 seliter. Kenaikkan RON 97 ini adalah yang tertinggi dalam sejarah negara dan dipercayai berikutan kenaikan harga minyak mentah di pasaran dunia. petrol price hike panic 010705 shell stationBulan lalu, harga petrol RON 97 dinaikkan 20 sen kepada RM2.70 seliter.
Harga RON 97 diapungkan sejak 31 Januari lalu mengikut harga pasaran semasa dan sejak itu ia kali ketujuh harga petrol gred itu dinaikkan. Petrol gred ini lazimnya digunakan oleh kenderaan yang memerlukan prestasi yang tinggi. Semua kenderaan berpendaftaran asing dilarang membeli RON 95 dan mereka menggunakan minyak gred RON 97.

RON 97 pada suatu ketika juga adalah minyak yang seringkali digunakan oleh rakyat sehingga minyak lebih murah RON95 diperkenalkan pada September 2009. Ketika itu RON 97 berharga RM1.80 seliter.